MUDIR atau pengetua pusat tahfiz atau rumah anak yatim perlu lebih peka dan berhati-hati apabila menerima sebarang undangan ke sesuatu majlis.
Ini adalah bagi mengelak daripada berlaku salah faham dan memberi imej kurang baik kepada pusat tahfiz atau rumah kebajikan itu.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Zuraida Kamaruddin berkata, penjelasan anak kepada seorang ahli perniagaan mengenai insiden sekumpulan pelajar tahfiz menonton konsert Sabtu lalu adalah tidak boleh diterima.
“Penganjur cuba menjustifikasikan tindakannya dengan alasan mereka pelarian Rohingya, tidak faham Bahasa Melayu dan mahu memberi pengalaman,” katanya.
Menegaskan tidak menolak hiburan, Zuraida bagaimanapun mengingatkan bahawa ia mestilah sesuai dengan agama dan tidak melampau batas.
“Namun begitu, apa yang kita lihat di dalam konsert yang diadakan baru-baru ini ia jelas tidak menurut syariat Islam.
“Adanya percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram dan juga persembahan-persembahan tarian di atas pentas yang amat tidak bersesuaian, bukan sahaja dengan ajaran Islam tetapi juga adat budaya kita sebagai orang timur,” katanya lagi.
Terdahulu tular rakaman video yang memaparkan pelajar tahfiz hadir ke konsert berkenaan yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 syarikat rangkaian makanan segera KFC.
Video itu diambil ketika artis sedang menyanyi dan berjoget di pentas.
Zuraida juga berkata pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen hiburan perlu menyemak setiap perancangan atau tentatif dibuat oleh penganjur.
“Permohonan lesen hiburan sementara seharusnya diperketatkan lagi dengan bukan sahaja tentatif acara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi juga ditambah lagi dengan tetamu-tetamu jemputan turut perlu dimaklumkan kepada mereka.
“Saya amat berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi, yang mana, pelajar tahfiz/sekolah agama dan juga anak-anak yatim Muslim tidak dibawa ke program-program lagha (sia-sia) dan juga boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada diri mereka,” katanya.
Semalam, ahli perniagaan Andrie Ung Han Xian tampil mengaku bahawa dialah yang membawa anak tahfiz itu ke konsert Kepci Muzik Fest di Shah Alam pada 26 Ogos.
Ung bagaimanapun mempertahankan niatnya sebagai ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan merasai pengalaman dan meraikan acara itu.
Ung, anak ahli perniagaan terkemuka di Kelantan dan aktif dalam kerja-kerja kebajikan, mendedahkan dia bersama rakan-rakannya mengumpulkan 700 orang anak yatim dari 22 buah rumah anak-anak yatim di seluruh negara.
Dia menambah kanak-kanak yang ditularkan memakai jubah hijau dan berserban putih itu dari Madrasah wa Tahfiz al-Quran Rohingya di TTDI Jaya yang tidak faham bahasa Melayu.- Malaysiapost