Razali, PAS ada masa 24 jam mohon maaf isu 54,000 warga China

AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memberi masa 24 jam kepada Ketua Penerangan BERSATU, Razali Idris dan PAS membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik dakwaan berkaitan pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Lim berkata, kenyataan berbaur fitnah serta memperlekehkan kedaulatan negara itu masih diteruskan oleh Razali dan PAS, walaupun kerajaan sebelum ini sudah menafikan dakwaan berkenaan.

“Justeru, saya memberi tempoh 24 jam kepada Razali dan PAS yang membuatkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan berkaitan atau pihak saya akan membuat laporan polis terhadap mereka.

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” kata Lim dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Razali berkata BERSATU mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia.

Gesaan sama dibuat di akaun Twitter PAS Pusat pada 28 Ogos lalu.

Dakwaan itu muncul kali pertama di media sosial awal bulan ini, mendakwa 54,000 warga China itu akan diberikan kerakyatan supaya menjadi ‘pengundi DAP’.

Tanpa mengemukakan bukti terdapat dakwaan itu, Razali berkata siasatan perlu dibuat terhadap Kementerian Dalam Negeri, menterinya, Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lim dalam pada itu menjelaskan kenyataan terbabit melanggar akta-akta di bawah Seksyen 499, 504, 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) dan 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

JPN pada 18 Ogos lalu menafikan dakwaan terdapat 54,000 permohonan kerakyatan yang belum selesai melibatkan warga dari China.

Mereka menjelaskan bahawa dakwaan itu timbul susulan sidang media Saifuddin pada 8 Januari lalu, dan telah dimanipulasi melalui satu video tular.

“Jumlah 54,000 permohonan tersebut adalah merujuk kepada jumlah permohonan dari tahun 2017 sehingga 2022 meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal.

“Berdasarkan rekod JPN dari 2019 hingga 31 Julai 2023 lalu, hanya 45 orang individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia secara keseluruhan (Perkara 19(1) mengikut Negara asal),” kata JPN.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights