JOHOR akan mundur dari semua segi termasuk ekonomi, pembangunan sosial dan syiar Islam jika corak pentadbiran kerajaan negeri mengikut acuan Islam Pas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, acuan Islam ala Pas, tidak sesuai dengan negeri seperti Johor.
“Pendek kata kalau nak ikut acuan Islam ala Pas yang macam Kerajaan Iran dan Taliban itu, maka Johor yang sudah maju akan mundur.
“(Mundur) dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan, sosial dan syiar Islam itu sendiri.
“Dari sudut pendidikan agama, sistem sekolah agama di Johor lebih terkedepan kalau dibandingkan sistem pendidikan Islam di Kelantan kerana diuruskan dengan baik oleh Majlis Agama Islam Johor.
“Begitu juga segi ekonomi, tak payahlah saya cerita panjang lebar sebab semua sedia maklum dengan kemajuan negeri Johor,” ujarnya dalam satu hantaran di media sosial Facebook miliknya, hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, pelbagai kemajuan dan projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan kerajaan negeri diterajui UMNO, berbanding Kelantan yang bergelut dengan kemudahan asas.
“Kelantan diperintah (PAS) sejak lebih 30 lalu, apa kemajuan yang parti Islam itu banggakan?
“Masalah keperluan asas rakyat pun tak boleh nak selesaikan, apatah lagi nak sembang tinggi melangit tentang ekonomi dan pelaburan.
“Malah, ramai orang Kelantan atau Terengganu datang cari rezeki di Johor kerana peluang pekerjaan amat luas sebab kemajuan ekonomi negeri ini yang bersempadan dengan Singapura.
“Lagipun kalau mereka tak keluar merantau dari Kelantan, apakah peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan PAS untuk mereka,” katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara menambah gelombang merah biru bangsa Johor akan melawan gelombang hijau dibawa PAS .
“Sejak PRN Johor sebelum ini, cubaan PAS bawa Gelombang Hijau mereka dilenyapkan dengan Gelombang Merah Biru Bangsa Johor.
“Orang Johor tak benarkan politik jumud PAS yang bertopengkan agama bertapak di sini.
“Saya yakin pengundi di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai akan hukum ketaksuban politik dibawa PAS,” katanya.- Malaysiapost