KERAJAAN akan memperuntukkan hampir RM9.5 bilion dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 bagi merangsangkan pelaburan dan pembabitan industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan NIMP 2030.
“Ia dianggarkan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun (NIMP 2030) terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta.
“Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu merangsang dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP,” katanya ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di ibu negara, hari ini.
Majlis pelancaran itu berlangsung di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.- Malaysiapost