SEORANG pemimpin DAP meminta MCA membantu kempen Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram, Johor minggu depan.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, MCA mempunyai empat ADUN dan dua ahli parlimen di Johor dan sepatutnya ‘semua jenteranya perlu diaktifkan dan dilibatkan’ bagi memastikan kemenangan dalam PRK itu.
Hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.
Kerusi itu disandang Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu.
Kok berkata, walaupun MCA menyatakan ia hanya akan berkempen untuk UMNO dan BN dalam enam PRN bulan lalu, parti itu kelihatan ‘tidak bersemangat dan menunjukkan hampir sifar kerja berpasukan serta perkongsian’ semasa berkempen.
Katanya, ini berbeza dengan UMNO dan MIC, yang berkongsi pentas dengan rakan sejawat daripada PH semasa berkempen supaya penyokong mereka keluar mengundi beramai-ramai.
BN dan PH rakan kongsi dalam gabungan kerajaan perpaduan dipimpin Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.
Kok berkata, perlembagaan MCA memfokuskan isu seperti perpaduan negara, keadilan sosial, dan keselamatan ekonomi, yang semuanya turut digalakkan kerajaan perpaduan.
Perlembagaan MCA turut menyeru parti itu ‘bekerjasama dengan organisasi politik lain yang mempunyai matlamat dan objektif sama bagi menggalakkan pembangunan sihat politik parti’.
Calon PH, Suhaizan Kaiat berdepan Zulkifli Jaafar dari Perikatan Nasional dan calon Bebas, Samsudin Fauzi dalam PRK Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman (PH) berdepan Mazri Yahya (PN) dan calon bebas, S Jeganathan di DUN Simpang Jeram.- Malaysiapost