MENTERI Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lalu, dalam masa terdekat
Beliau berkata, pihaknya sedang memperhalusi mengenai perkara tersebut sebelum ia dikemukakan tidak lama pagi.
“Itu (petisyen) sedang diperhalusi, kita telah bincang untuk pihak PKR dahulu dan memang kita sudah semak semua perkara.
“Insya-Allah ia akan dikemukakan dalam masa terdekat, kita sedang menunggu proses keputusan pewartaan yang telah dibuat,” katanya selepas program FIT Malaysia peringkat Selangor 2023 di Kuala Langat hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi PRN di enam negeri telah diwartakan pada 29 Ogos lalu.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertimbang untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia, dan Dengkil, yang menyaksikan calon PN menang dengan majoriti rendah.
Keputusan bagi empat kerusi tersebut menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58), dan Taman Medan (30).
Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpinan Negeri.
Katanya, pasukan peguam seterusnya akan membuat penelitian lanjut berhubung kes di semua kerusi tersebut. – Malaysiapost