BEKAS Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai Presiden republik itu, selepas memperoleh kemenangan besar melalui pilihan raya semalam.
Shanmugaratnam, 66, menang dalam undian yang dipertandingkan buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad.
Beliau memperoleh 70.4 peratus undi menewaskan dua pencabar bagi menjawat kedudukan itu untuk penggal selama enam tahun.
Shanmugaratnam yang juga bekas menteri kewangan, berkata beliau percaya undi diterjemahkan rakyat Singapura adalah cerminan keyakinan mereka.
Beliau turut mengakui perubahan dan perkembangan di Singapura, terutama kepelbagaiannya, serta percaya pilihan raya itu dilihat sebagai satu lagi peristiwa penting dalam proses evolusi terbabit.
“Ia adalah undian optimis untuk masa depan dan kita boleh maju bersama serta menyokong satu sama lain sebagai rakyat Singapura.
“Saya menerima sokongan undi ini dengan perasaan rendah hati.
“Ia bukan sekadar undi untuk saya, ia adalah undi untuk masa depan Singapura,” katanya dalam ucapan sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Semalam, rakyat Singapura mengambil peluang pergi ke pusat mengundi yang dilihat sebagai penanda aras dalam menguji sokongan kepada parti kerajaan selepas ia terpalit dengan beberapa skandal sebelum ini.
Sementara itu, saingan utamanya iaitu bekas Ketua Pegawai Pelaburan GIC, iaitu dana kekayaan Singapura, yang menguruskan rizab asing negara itu, Ng Kok Song, hanya memenangi 15.7 peratus undi.
Beliau yang ditemui pemberita akur dengan keputusan terbabit.
“Keputusan jelas dan Shanmugaratnam memang mendapat mandat daripada rakyat Singapura,” katanya.
Bagi jawatan presiden di Singapura, terdapat syarat ketat dalam memikul tanggungjawab itu yang secara rasmi menyelia rizab kewangan terkumpul republik terbabit dan mempunyai kuasa veto untuk menghalang langkah tertentu dan meluluskan siasatan antirasuah.
Walaupun jawatan presiden bukan partisan di bawah Perlembagaan, peraturan politik itu bagaimanapun ditarik menjelang pilihan raya bagi menggantikan penyandang, Halimah Yacob, yang mengumumkan tidak bertanding kali ini.
Susulan kemenangan itu, Amerika Syarikat (AS) menghantar ucapan tahniah kepada Shanmugaratnam, sekali gus menekankan aspek saling menghormati, nilai bersama dan kepentingan bersama dengan Singapura.- Malaysiapost