Melayu tak perlu takut slogan ‘Malaysian Malaysia’ diperjuang DAP

ORANG Melayu tidak perlu takut dengan slogan ‘Malaysian Malaysia’ diperjuangkan DAP kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan, kata Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sambil menyatakan ia selari dengan prinsip Rukun Negara, Sheikh Umar berkata slogan itu tidak sepatutnya menjadi isu, lapor Berita Harian.

Lebih-lebih lagi katanya, dalam suasana kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini

Sehubungan itu tegasnya, semua pihak sepatutnya mengelak menjadikan isu tersebut polemik berterusan, sebaliknya mencari titik persamaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk berkempen pada pilihan raya ini.

“Sebab itu DAP setuju bentuk Kerajaan Perpaduan dan (semua parti) setuju perlembagaan parti ini kekal, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi seharusnya perkara ini tidak timbul lagi.

“Slogan itu tidak perlu digugurkan dan pada masa sama, tidak seharusnya terikut-ikut rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP ancaman kepada Melayu,” katanya selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah di Johor Bahru, malam tadi.

Baru-baru ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, menggesa supaya DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’.

Mereka juga menggesa DAP menilai semula komitmennya yang antara lain menghapus sistem kuota Bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti itu daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Dalam pada itu Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berharap, akar umbi terutama Umno mendapat kefahaman jelas mengenai isu tersebut.

Katanya, rasa sangsi dan curiga orang Melayu adalah perkara biasa yang memerlukan masa untuk menerimanya.

“Saya tidak mahu bersangka buruk terhadap bekas Ahli Parlimen Pulai (Nur Jazlan) tetapi percaya kenyataan itu dikeluarkan disebabkan khuatir dengan sentimen pengundi Umno.

“Saya tahu ramai dalam kalangan kita (masih baharu) untuk serasi dengan gerak kerja dan kolaborasi ini, jadi ramai orang menyatakan rasa risau serta khuatir, jadi banyak benda terkeluar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights