PELANTIKAN Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara berkuat kuasa Rabu ini, disifatkan sebagai tepat dan paling sesuai untuk membawa kesinambungan tugas Peguam Negara, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Ahmad Terrirudin orang kedua selepas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang mempunyai kepakaran dalam sektor perundangan.
“Beliau adalah orang dalam Jabatan Peguam Negara. Beliau Peguam Cara 1, maknanya beliau seorang yang profesional.
“Saya yakin pelantikannya tepat kerana kita melihat ini sebagai lantikan dalaman Jabatan Peguam Negara yang memang terdiri daripada peguam pakar daripada pengkhususan yang mewakili kepentingan negara dalam sektor perundangan.
“Beliau adalah orang nombor dua kepada Peguam Negara yang akan bersara pada Isnin ini. Jadi, beliau orang yang sesuai,” katanya memetik Berita Harian.
Ahmad Terrirudin, 54, dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September ini.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini tiga penyandang terdiri orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Idrus sendiri yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.
Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015. – Malaysiapost