KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mempermainkan hukum Allah SWT.
Katanya sebagai bekas perdana menteri, Muhyiddin tidak sepatutnya mengeluarkan sebegitu khususnya mengenai hukum Islam.
“Hukum dah jatuh halal, haram ini bagi saya perkara yang tak boleh dibiarkan sebab bila jatuh haram ini fatwa.
“Dia (Muhyiddin) ini pemimpin, ada yang cakap ia sekadar cakap-cakap tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin ini pemimpin dan mantan perdana menteri.
“Jadi sudah tentulah rakyat akan terkesan dengan setiap bait-bait kata yang dikeluarkan oleh pemimpin.
“Saya percaya hukum haram nak kata halal, halal nak kata haram ini bukan tugas kita, kalau tak ada dalil, tak ada ijma (kesepakatan) dari ulama jangan dibuat main,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2, Muar, hari ini.
Akmal sebelum itu menyaksikan perlawanan bola sepak Pemuda Umno Bahagian Bakri.
Sebelum itu, Muhyiddin berkata pengundi perlu menolak calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana PN di Kempas, Johor Bahru malam, semalam.- Malaysiapost