KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang didakwa mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon PH dalam satu ceramah di Johor, kelmarin.
Memetik Berita Harian, Razarudin berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau memaklumkan, polis menerima satu laporan berhubung kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di ibu negara, semalam.
“Ya kita ada terima satu laporan polis dan kita sudah buat siasatan.
“Kita akan panggil beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya.
Razaruddin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Terdahulu Muhyiddin dilapor “mengeluarkan fatwa” bahawa haram mengundi calon PH dalam PRK Parlimen Pulai.
Alasannya ia berdasarkan kegagalan kerajaan pusat yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat, bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.
“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana.
“Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya. – Malaysiapost