WANITA Umno akan bersolidariti bagi memperkukuhkan institusi presiden selepas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada 47 pertuduhan di mahkamah.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ketabahan Ahmad Zahid menghadapi waktu sukar terbalas apabila mahkamah membebaskannya hari ini.
“Keputusan ini sudah pastinya perkhabaran yang gembira dan amat melegakan kepada seluruh ahli Umno khususnya Wanita Umno.
“Wanita Umno menyeru kepada seluruh ahli Umno untuk terus
bersama-sama bersolidariti memperkukuhkan dan memperkasakan institusi presiden dan parti.
“Keputusan ini juga satu lonjakan semangat kepada ahli-ahli untuk terus berusaha mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan
Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, Ahmad Zahid hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya ‘tergantung’ tanpa ada kepastian.
Katanya, oleh kerana pendakwaan sudah memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid, anak guamnya dengan itu hendaklah dibebaskan oleh mahkamah.
Pada 24 Ogos lalu, peguam bela Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, dalam satu kenyataan media, memohon keputusan representasi yang dihantar pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023 disegerakan sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi dalam perbicaraan kes itu.
Sementara itu, Ketua Umno Seputeh, Razlan Rafii menyifatkan keputusan itu memberi makna besar, juga satu kemenangan
buat seluruh ahli Umno seluruh negara.
“Keputusan yang diberikan oleh mahkamah ini sekaligus telah
membersihkan nama baik presiden dan parti Umno secara khususnya.
“Ternyata Umno telah dizalimi semenjak mengalami kekalahan
pada PRU Ke-14 pada tahun 2018 dan pendakwaan yang dipanjangkan ke mahkamah ini tidak lain adalah satu
rekayasa ‘vendetta’ musuh-musuh politik Umno yang berniat
jahat dalam mengimpikan UMNO berkubur tanpa nisan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya keputusan mahkamah ini juga telah memberikan gambaran
jelas tentang pendakwaan yang dibuat merupakan satu ciptaan bagi menjerumuskan pemimpin Umno,seterusnya mencalar imej presiden dan institusi Umno secara keseluruhannya. – Malaysiapost