MENTERI Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengemukakan saman ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Kota Lama berkait fitnah mengatakan beliau membawa fitrah takfiri.
Mohd Nasuruddin berkata, sebagai permulaan surat saman itu telah dihantar kepada peguam yang mewakili ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hasyim semalam.
“Selepas ini giliran ADUN Kota Lama (Dr Hafidzah Mustakim) pula akan menerima surat tersebut.
“Selain itu, saya akan menghantar surat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.
“Bila mereka menyebut saya membawa fitrah takfiri ertinya mereka telah menuduh saya mengkafirkan orang… saya saman mereka,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Mengangkat Sumpah ADUN Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
ADUN Meranti itu memberitahu, beliau tidak menyebut perkataan yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut.
Katanya, sejak memberi kuliah agama sama ada di masjid atau pondok bermula usia 21 hingga sekarang 58 tahun beliau tidak pernah sekalipun mengkafirkan sesiapa.- Malaysiapost