Pemuda UMNO Johor anggap keputusan kes Akalbudi legakan akar umbi

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, memberi kelegaan kepada ahli akar umbi parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ia juga menunjukkan seolah-olah pendakwaan dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu lebih kepada pendakwaan politik oleh kumpulan tertentu.

“Sudah tentu kami Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Bagi kami, ia adalah keputusan yang memberi satu kelegaan kepada pimpinan UMNO di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Noor Azleen berkata, tindakan pasukan pendakwaan mengemukakan 11 alasan bagi menyokong permohonan untuk memberhentikan perbicaraan itu juga memberi ruang kepada pihak berkaitan melakukan siasatan lebih mendalam dalam kes itu.

“Berdasarkan perkembangan terbaharu ini juga, Presiden UMNO telah memanfaatkan ruang serta platform yang betul melalui saluran undang-undang untuk membersihkan nama dan mengembalikan maruah beliau.

“Bagi Pemuda UMNO Johor, semua tuduhan sebelum ini jelas menunjukkan bersifat politik dan cubaan salah guna badan kehakiman untuk menjatuhkan UMNO,” katanya lagi.

Beliau turut berpandangan, keputusan mahkamah itu juga dapat memperbaiki semula imej serta kredibiliti UMNO yang diketuai Ahmad Zahid.

Katanya, adalah diharapkan ia akan dapat membantu UMNO kembali menawan minda dan hati orang Melayu.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights