‘Imam Mustaqim’ kena penjara enam bulan kes hina Sultan Selangor

SEORANG lelaki yang juga pemilik akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hukuman itu dikenakan atas pertuduhan memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohamad Azlan Ibrahim, 47, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini.

Sebelum prosiding pendakwaan bermula, Mohamad Azlan dilihat sempat membaca al-Quran.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azlan yang juga penganggur itu didakwa menerusi aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Iman Mustaqim’ telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pukul 11.37 pagi pada 29 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan menjaga ibu yang sakit.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dengan berhujah perbuatan tertuduh menghina institusi raja satu kesalahan yang serius.

Sementara itu, dalam prosiding sama tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah gagal memberi kata laluan kepada profil aplikasi Facebook ‘Iman Mustaqim’ di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights