ANAK bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh menafikan dia dipinggirkan PAS sebelum ini.
Bekas ahli parlimen Bachok itu berkata, dia sendiri memilih untuk ‘berehat’ seketika dari dunia politik.
“Bukan soal diketepikan. Itu (diketepikan PAS) cerita media.
“Saya yang memohon untuk berundur dari awal dan cerita saya ini bermula daripada saya menarik diri untuk bertanding di parlimen Bachok atas sebab yang telah saya jelaskan.
“Jadi dalam dalam tempoh selepas saya tak bertanding itu, PAS ada minta saya bertanding balik.
“Tapi, saya minta lagi untuk ambil masa, untuk saya uruskan beberapa urusan saya.
“Jadi, tak timbul soal saya dipinggirkan kepimpinan parti.
“Itu hanya kenyataan dibuat oleh media sahaja,” katanya ketika ditemui media di pejabat PAS kawasan Bakri, Muar, Johor, hari ini.
Dia dilantik sebagai ahli Dewan Negara bagi mewakili PAS Kelantan semalam.
Pemilihan Nik Abduh itu dibuat bagi menggantikan Mohamad Affandi Mohamad yang tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada 7 Julai lalu.
Nik Abduh sebelum ini dilaporkan berminat untuk bertanding namun menyasarkan hanya kerusi DUN Chempaka – yang pernah diwakili Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun, namanya tidak disertakan sebagai salah seorang calon PAS-PN bagi menghadapi PRN Kelantan Ogos lalu.- Malaysiapost