Saya akan tunaikan amanah sebaik mungkin – Ahmad Terrirudin

“INSYA-ALLAH saya akan tunaikan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin,’ kata Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Peguam Negara hari ini.

Beliau berkata demikian secara ringkas kepada media ketika mendaftar masuk sistem kehadiran secara dalam talian pada jam 8.15 pagi tadi di lobi Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Beliau turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berterima kasih kepada kerajaan atas pelantikannya, lapor Bernama.

Ahmad Terrirudin, 54, dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September.

Beliau menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September.

Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini tiga penyandang terdiri orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Idrus sendiri yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.

Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015. – Malaysiapost

.

Foto Kredit: Bernama

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights