Sekatan import terhadap lembu, kerbau Australia ditarik semula

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) menarik balik arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia yang berkuatkuasa serta-merta.

Penggantungan sementara pada 4 Ogos 2023 itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga jika dakwaan pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) pada lembu yang diimport dari Australia itu benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari negara tersebut.

DVS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan menarik balik sekatan import itu hasil perkongsian laporan penuh siasatan oleh Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia selepas dua sesi perbincangan teknikal bersama DVS.

Katanya, hubungan baik antara DVS dan DAFF membolehkan perkongsian maklumat dijalankan secara telus dan terperinci.

“DVS ingin memaklumkan kepada pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia untuk mengemukakan surat permohonan import dari DVS sebelum membuat permohonan permit.

“DVS juga ingin menegaskan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut SOP ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan yang diimport menjalani proses pemantauan rapi.

“DVS berharap dengan keputusan menarik semula sekatan import ini memberi kelegaan kepada industri, dan seluruh rakyat Malaysia. Di samping itu, DVS menghargai keterbukaan DAFF dalam membantu proses penyelesaian isu ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights