Tunggu 71 tahun untuk dapat Mykad 

PENANTIAN selama 71 tahun seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam untuk mendapatkan kad pengenalan (Mykad) berakhir hari ini. 

Abdul Wahab Saleh, yang dilahirkan di Kampung Pasir Tinggi dekat Kuala Nerus, Terengganu, hanya mempunyai sijil kelahiran bertaraf warganegara namun tidak memiliki Mykad. 

Dia pernah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital pada awal Mei lalu, mengalami kesukaran dari segi pembiayaan kos rawatan kesihatan.

Usaha mendapatkan MyKad dimulakan oleh anak saudaranya, Normah Mamat, 59, yang mengemukakan permohonan kepada pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Nerus. 

Normah berkata, Abdul Wahab tidak pernah berkahwin dan kini dijaga olehnya bersama kakaknya, Fadilah Mamat, 60.

“Pak cik saya tidak mempunyai kediaman tetap. Dia akan tinggal bersama saya di Kampung Telaga Daing atau di rumah Fadilah di Kampung Pasir Tinggi.

“Saya dan kakak akan menjaga dia secara bergilir-gilir. Pak cik saya tidak pernah menerima perkhidmatan perubatan mahupun kebajikan secara rasmi seumur hidupnya sebelum ini.

“Dia hanya ada surat beranak tetapi tiada kad pengenalan diri. 

“Ini kerana orang-orang dahulu hidup susah dan hidup pindah randah maka tidak sempat nak daftarkan kad pengenalan diri untuk anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui selepas Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Telaga Daing. 

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman menyerahkan sendiri MyKad kepada Abdul Wahab.

Sementara itu, Zamri berkata, permohonan bagi mendapatkan pengenalan diri itu telah dipermudahkan oleh pasukan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN Terengganu yang telah turun ke lapangan.

“Dengan adanya Mykad membolehkan urusan di hospital dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat disalurkan lebih segera.

“Bagaimanapun Abdul Wahab sebenarnya mempunyai sijil lahir cuma tidak ada kad pengenalan diri kerana tidak dapat diusahakan selama ini,” jelasnya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights