Zii Jia balik awal lagi 

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui prestasinya masih ketinggalan berbanding naib juara dunia dari Jepun, Kodai Naraoka. 

Zii Jia tewas di tangan lawan itu di pusingan pertama Terbuka China, hari ini.

Dia terpaksa akur apabila tewas 24-26, 21-12, 11-21 pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

“Prestasinya (Naraoka) konsisten dan seperti yang kita tahu dia sangat bagus dalam rali dan bertahan. 

“Dia kurang melakukan kesilapan mudah dalam gelanggang dan membuatkan dia sebagai pemain yang lebih baik dan lebih stabil.

“Jika tengok pemain Jepun yang lain, corak permainan mereka hampir sama, tetapi apa yang membezakan mereka dengan Kodai adalah dia lebih stabil dan mengawal gelanggang dengan baik. 

“Dia lebih yakin dengan apa yang dilakukannya sekarang.

“Saya pula, tiada apa yang positif untuk saya. 

“Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berusaha lagi,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Kemenangan menyaksikan Naraoka akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara pemain Perancis, Toma Junior Popov menentang Lin Chun Yi dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights