WABAK denggi paling teruk sedang melanda Bangladesh, dengan lebih 650 kematian dilaporkan sejak April, lapor Sputnik, memetik Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus.
“Kini Bangladesh mengalami wabak denggi paling teruk dalam rekod.
“Sejak wabak itu bermula pada April, lebih 135,000 kes dan 650 kematian telah dilaporkan, termasuk 300 kematian dilaporkan pada Ogos sahaja,” kata Ghebreyesus dalam satu taklimat pada Rabu.
Beliau berkata wabak itu memberi tekanan kepada sistem kesihatan di Bangladesh, walaupun jumlah kes di Dhaka telah mula menurun, di kawasan lain kes menunjukkan peningkatan.
WHO telah menghantar pakarnya ke negara itu untuk membantu usaha pihak berkuasa memperkukuh pengawasan, meningkatkan kapasiti makmal dan bertemu dengan penduduk terjejas.- Malaysiapost