ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Nurulhidayah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegu Bard ataupun nama sebenarnya Badru Hisham Shaharin.
Ia susulan dakwaan Chegu Bard bahawa beliau memiliki kediaman mewah berharga RM20 juta di Kajang, Selangor.
Oleh itu satu laporan polis katanya akan dibuat hari ini bagi menafikan tuduhan berkenaan.
“Saya mendapati satu fitnah yang teruk buat diri saya dan keluarga saya…Saya difitnah mempunyai rumah bernilai RM20 juta di Count Heights, Kajang.
“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya wallahi, wabillahi, watallahi, ia bukan rumah milik saya mahu pun mana-mana milik ahli keluarga saya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial TikToknya hari ini.
Anak sulung Zahid itu berkata dia menadapat tahu mengenai fitnah yang dilemparkan terhadapnya itu malam tadi selepas pulang dari Johor.
Katanya tuduhan itu dibuat oleh Chegu Bard terhadapnya disebarkan melalui Tik Tok.
Selepas melafazkan sumpah menafikan tuduhan Chegu Bard, Nurulhidayah mendoakan agar Allah SWT menurunkan balasan setimpal terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu.
“Seterusnya saya bersama-sama peguam saya akan mengeluarkan waran saman kepada Chegu Bard dan saya tidak teragak-agak meneruskan niat saya ini, bagi saya ia satu fitnah,” katanya.- Malaysiapost