PAKATAN Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di Pulai dan Simpang Jeram, walaupun peratusan keluar mengundi agak rendah hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 9 malam tadi, calon PH di Pulai, Suhaizan Kaiat yang juga bekas Speaker DUN Johor mendahului lawannya, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi daripada Bebas.
Kemenangan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu mencatat sejarah peribadi selepas tewas enam kali dalam pilihan raya yang pernah ditandinginya.
Di Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman mewakili PH mendahului dengan majoriti 3,514 undi.
Berdasarkan undian tidak rasmi Nazri memperoleh 13,844 undi, diikuti calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Sebanyak 47 pusat pengundian melibatkan 294 saluran dibuka di Pulai, manakala di Simpang Jeram melibatkan 14 pusat mengundi dengan 68 saluran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan media memaklumkan, peratusan keluar setakat jam 5 petang iaitu sejam sebelum pusat mengundi ditutup menunjukkan 45 peratus keluar bagi Pulai, manakala 59 peratus di Simpang Jeram.- Malaysiapost