ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakatan Universiti Selangor (UNISEL).
Dr Wan Azizah yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menerima anugerah itu daripada Canselor UNISEL,Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-17.
Dr Wan Azizah berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan bukan hanya kepada beliau tetapi kepada semua yang membantunya dan ahli keluarga sepanjang mengharungi pelbagai cabaran dalam bidang politik atau kehidupan peribadi.
“Saya telah berpeluang menabur bakti sebagai seorang doktor, merawat pesakit daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kemudian menceburi bidang politik.
“Kedua-dua bidang ini memerlukan sokongan dan kepercayaan rakyat untuk berkhidmat,” katanya ketika berucap pada istiadat konvokesyen berkenaan di UNISEL Kampus Bestari Jaya, Kuala Kubu Bharu, lapor Bernama.
Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata penganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Dr Wan Azizah adalah sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan besar beliau terhadap negara dan universiti berkenaan.- Malaysiapost