PERSINGGAHAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di Kampung Penan Muslim Batu 10, dekat Bintulu, hari ini, dianggap penghulu kampung itu sebagai manifestasi pengiktirafan Seri Paduka berdua terhadap kepelbagaian kaum di Sarawak.
Penghulu, Raini Piee, 64, berkata, Al-Sultan Abdullah adalah ketua negara pertama berkenan berangkat ke kampung yang wujud sejak 55 tahun lepas itu.
“Inilah kali pertama Yang di-Pertuan Agong datang ke kampung kami, dan kami amat menjunjung kasih atas perkenan baginda singgah di sini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, Kampung Penan Muslim Batu 10 diasaskan ayahnya, Piee Miring pada tahun 1968 bermula dengan hanya tiga keluarga, kini berkembang kepada 374 rumah dengan 1,050 orang penduduk.
“Dulu kawasan kampung ini adalah hutan tebal, bapa saya memeluk Islam semasa berkahwin dengan ibu saya – orang Brunei, dan merekalah antara pengasas (membuka) kampung ini.
“Mengikut sejarah kami, kaum Penan ini adalah kaum nomad yang berpindah-randah serta tidak beragama dan mencari penghidupan berhampiran dengan sungai.
“Keluarga saya sendiri berasal dari kawasan Sungai Sebiew, Bintulu sebelum membuka kampung ini,” katanya lagi.
Raini berkata, kaum Penan yang populasinya tertumpu di kawasan pedalaman utara Sarawak kini sudah berubah dan menerima cara kehidupan moden.
Malah, menurutnya pakaian kaum Penan Muslim juga kini sudah berbeza sesuai dengan agama Islam selain ada dalam kalangan kaum itu yang sudah memegang jawatan Temenggong dan Pemanca.
Terdahulu, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di kampung yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Bintulu itu disambut penuh meriah oleh penduduk kampung.
Ada antara penduduk siap memperagakan busana tradisional Penan.
Pasangan diraja itu turut berkenan mengurniakan sumbangan bantuan kepada 100 orang asnaf di kampung berkenaan.
Esok, konvoi Kembara Kenali Borneo dijadual melawat Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, kira-kira 44km dari Bintulu, dengan aktiviti memasak, memancing dan penyampaian asnaf diatur bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua dan rombongan.- Malaysiapost
Kredit foto: Bernama