Kecewa DNAA kes Zahid, Pemuda PN mahu berhimpun di Sogo

Kecewa DNAA kes Zahid, Pemuda PN mahu berhimpun di Sogo

SATU perhimpunan akan diadakan Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada 16 Sept ini sebagai bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari, berkata ia sebagai tanda protes terhadap penarikan balik
47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Katanya, perhimpunan itu dikenali sebagai ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

“Kekecewaan kami telah memuncak dan kami merancang untuk menganjurkan Gerakan Selamatkan Malaysia. Jadi kemuncaknya apa, kami nak laksanakan ialah Gerakan Selamatkan Malaysia.

“Kempen awal ialah pada Hari Malaysia, Sabtu ini, hadapan Sogo di Kuala Lumpur. Himpunan ini akan kumpulakan anak muda yang sayangkan negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya pada perhimpunan itu mereka akan mengenakan pakaian putih dan membawa bendera Malaysia.

Hadir sama pada sidang media itu ialah wakil rakyat dari PN termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga timbalan Fadhli.

Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin, Adun Gombak Setia Hilman Idham; dan wakil daripada NGO Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia (Gamis) dan Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Gamis dan Ummah akan bertanggungjawab menggerakkan penyokong untuk perhimpunan pergerakan itu, menurut Ahmad Fadhli.

Katanya himpunan bagi membantah keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwanya telah mencemarkan nama baik negara khususnya dalam memerangi rasuah.

Menurut Ahmad Fadhli yang merupakan pemimpin PAS, perhimpunan Sabtu ini bukanlah yang terakhir kerana mereka bercadang untuk mengadakan jerayawara di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu itu.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights