Kerajaan Kelantan perlu jelas isu babit konsert Jom Heboh

KERAJAAN Kelantan perlu memberi penjelasan berkaitan penganjuran konsert kemuncak program Karnival Jom Heboh (KJH) di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi yang bercampur lelaki dan wanita.

Tuntutan itu dibuat Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan melalui satu kenyataan media, hari ini.

Ketuanya, Nor Azmiza Mamat berkata, berdasarkan gambar dan rakaman video jelas menunjukkan konsert dianjurkan Media Prima dan tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

“Berdasarkan kumpulan foto dan video yang tular berkenaan suasana di malam penganjuran konsert, jelas terpapar percampuran tempat duduk antara lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang melanggar garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam foto dan video, selain garis panduan pengasingan penonton lelaki dan perempuan yang tidak dipatuhi, Wanita PKR Kelantan turut prihatin tentang penatacahayaan kawasan penonton yang malap yang boleh mempengaruhi kebarangkalian untuk berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya.

Nor Azmiza berkata, keadaan itu bercanggah dengan jaminan anggota exco Kelantan, Mohd Asri Mat Daud sehari sebelum acara berlangsung yang mengatakan karnival itu akan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 dan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Katanya, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan juga menyatakan KJH akan melakukan pengasingan jantina.

“Sehubungan itu, kami memohon kerajaan negeri memberi penjelasan tentang penguatkuasaan enakmen berikut semasa konsert berlangsung,” katanya.

Difahamkan, ini bukan kali pertama kerajaan negeri pimpinan PAS menerima kritikan berhubung acara hiburan.

Pada Oktober tahun lalu, penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan menerima kecaman kerana dikatakan tidak patuh syariat dengan sebahagian penonton dilihat menari mengikut rentak lagu.

Selepas itu, tular pula video sebuah konsert tidak jauh dari Masjid Zahir di Kedah kerana memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika menyaksikan persembahan.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights