Persidangan DAP lulus sembilan resolusi

SEMBILAN resolusi diluluskan pada persidangan DAP 2023 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Antara resolusi itu adalah ulangan kepada Deklarasi Shah Alam yang pernah ditandatangani parti itu pada Januari 2012.

Ia berkaitan hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu.

Kandungan resolusi itu antara lain menyatakan kewajipan ahli dan pemimpin parti mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menghormati semangat Perlembagaan Malaysia 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Persidangan turut meluluskan ketetapan mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.

“Perihal kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak kaum dan masyarakat lain sedia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga dengan melindungi kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan, selain melindungi kebebasan agama lain untuk diamalkan,” kata resolusi itu yang merangkumi topik ‘Impian Malaysia’.

Resolusi itu dibacakan oleh setiausaha persidangan yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong.

DAP juga wajib memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, seperti dinyatakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, mengiktiraf dan mempertahankan hak masyarakat lain bertutur dalam bahasa mereka.

Persidangan juga meluluskan resolusi yang DAP menolak tekanan dan campur tangan dalam proses undang-undang.

“DAP akan terus menuntut penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta tata kelola kerajaan,” menurut senarai resolusi ketiga di bawah tajuk ‘mencegah rasuah dan salah guna kuasa’.

Resolusi lain diluluskan adalah berkaitan hak politik sivil dan reformasi institusi, antara lain mendesak pemansuhan/penghapusan/pindaan ke atas undang-undang drakonian, zalim dan regresif yang melanggar hak rakyat serta membantu Kerajaan Perpaduan mencapai matlamat itu.

Enam lagi resolusi membabitkan ekonomi Malaysia yang madani; pemerkasaan wanita dan menghentikan diskriminasi berasaskan gender; menggembleng tenaga muda; kemampuan untuk masa depan serta media sosial dan penyampaian maklumat.

Resolusi terakhir diluluskan berkaitan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan, yang mana DAP menyatakan komitmen berterusan kepada kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membina semula Malaysia.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights