SEORANG ahli majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, mendakwa beberapa ahli parti itu termasuk dirinya, mungkin dipecat dalam masa terdekat.
Dakwanya, tindakan itu susulan kelantangan ahli dan pemimpin UMNO mengkritik keputusan pucuk pimpinan parti bersama Pakatan Harapan (PH) menyertai pilihan raya.
“Saya dengar minggu ini ada beberapa lagi ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat nanti.
“Ada ura-ura kata nama saya pun mungkin tersenarai.
“Terserah kepada kepimpinan parti dan Majlis Tertinggi jika mereka mahu pecat saya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor BH Online.
Isham berkata, pemecatan itu juga dikaitkan dengan kenyataan dibuatnya – kononnya menyuruh ahli UMNO jangan mengundi PH pada pilihan raya.
“Ini tidak benar. Saya tidak pernah suruh ahli UMNO jangan undi PH atau DAP.
“Ini adalah fitnah. Apa yang saya kata ialah saya akan fokus kepada kawasan UMNO.
“Boleh lihat dalam live saya beberapa bulan lalu di Facebook,” katanya lagi.
Isham menjelaskan, akhbar berbahasa Cina menulis kononnya beliau berkata jangan undi PH, dan perkara itu tidak betul.
“Mereka telah pun minta maaf kepada saya dan keluarkan pembetulan, dan pembetulan ini telah pun saya maklumkan kepada MKT melalui WhatsApp beberapa bulan yang lalu semasa isu ini timbul,” katanya.
Isham berkata, walaupun berpandangan berbeza daripada segi dasar dan halatuju parti, beliau tidak pernah mengkritik sesama MKT secara terbuka.
Dalam isu setuju bergabung dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, Isham berkata beliau bersetuju mengenai perkara itu ketika menjawat jawatan Ketua Penerangan UMNO.
“Ya, saya setuju sebab itu titah Yang di-Pertuan Agong untuk bentuk kerajaan pada ketika itu, tetapi saya tidak pernah setuju untuk pergi pilihan raya dengan PH.
“Berada dalam kerajaan dan pergi pilihan raya bersama adalah dua perkara berbeza.
“Agong tidak pernah titah kita pergi pilihan raya bersama PH.
“Jangan campur adukkan dua perkara ini,” tegasnya.
Isham menyangkal dakwaan menyatakan ada pihak menyokong di belakang beliau.
“Siapa ada di belakang saya? Mungkin akar umbi. Sahabat saya Datuk Seri Najib pun masih dipenjara.
“Saya minta supaya kerajaan dan kepimpinan UMNO beri keadilan kepada ‘Bossku’ dan jangan lupakan dia,” katanya.
Sebelum ini Isham mendakwa beliau tidak mahu Ketua Penerangan UMNO kerana jawatan itu memerlukan beliau mempromosi DAP.
“Saya syukur tidak perlu menggalas tugas untuk menyuruh akar umbi kita sokong DAP kerana itu bertentangan dengan pendirian saya.
“Saya tidak gila jawatan, saya pernah tolak jawatan ahli lembaga pengarah GLC sebanyak dua kali.
“Dan pemimpin Pro-DAP ini suruh saya letak jawatan. Saya tidak akan letak jawatan. Saya dipilih oleh akar umbi,” katanya.
BH dimaklumkan mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung Rabu ini.
Semalam, Isham memberitahu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram kelmarin menyaksikan BN kehilangan kira-kira 27,000 undi Melayu.
Selain itu, UMNO dan BN menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu bulan lalu, dipercayai akibat penolakan orang Melayu dan akar umbi parti.
Sebahagian besar ahli dan penyokong UMNO dikatakan masih belum dapat menerima kerjasama politik antara parti itu dan PH terutamanya DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.- Malaysiapost