Kelantan nafi konsert Jom Heboh tak terkawal

EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Asri Mat Daud menjelaskan penganjuran konsert sempena Karnival Jom Heboh (KJH) dipantau penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) seawal Maghrib sehingga selesai acara itu.

Dia berkata, penyelarasan KJH di Kelantan kali ini adalah di bawah pemantauan portfolionya, manakala permohonan konsert sempena karnival itu dipohon dan diluluskan MPKB-BRI dan penganjur bersetuju dengan semua peraturan dan syarat yang ditetapkan.

“Saya dimaklumkan pegawai pelesenan MPKB-BRI berkenaan penganjuran konsert sempena KJH dipantau penguatkuasa seawal maghrib sehingga selesai konsert.

“Laporan juga diterima bahawa keadaan adalah terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton berkenaan pengasingan tempat duduk (kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki) dan berulang kali memohon menerusi hebahan agar penonton menjaga tata susila sepanjang konsert,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mohd Asri yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Demit berkata demikian sebagai menjawab gesaan daripada Wanita PKR Kelantan meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai penganjuran konsert kemuncak program KJH di Kota Bharu malam semalam yang bercampur kedudukan antara penonton lelaki dan wanita.

Ketuanya, Nor Azmiza Mamat mendakwa, berdasarkan gambar dan rakaman video yang tular jelas menunjukkan penganjuran konsert anjuran Media Prima itu tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Sementara itu mengulas lanjut Mohd Asri berkata, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudiannya diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.

Jelasnya, garis panduan ini diwujudkan bagi tujuan menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan mengikut kawalan kerajaan negeri berdasarkan enakmen berkenaan sebagai panduan kepada pegawai-pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.

“Bagi melengkapkan garis panduan kawalan hiburan yang ada, pihak MPKB mengeluarkan syarat-syarat bagi melicinkan urusan pelesenan.

“Saya menegaskan bahawa, Kelantan bumi Serambi Mekah ini sejak sekian lama dahulu hingga kini, terbuka dan mengalu-alukan sebarang penganjuran apa jua karnival atau hiburan sekiranya penganjur boleh mengikuti syarat penganjuran.

“Apa yang lebih penting penganjur juga hendaklah mengambil kira pendekatan negeri ini yang konsisten dengan dasar MBI,” katanya.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights