AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz dipindahkan ke blok pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN Johor).
“Berdasarkan kenyataan media oleh Presiden MUDA dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Dewan Negeri Johor daripada Blok Pakatan Harapan (PH) Chen Kah Eng (Stulang), tempat duduk Amira Aisya dipindahkan sebaris dengan Blok Pengimbang PN,” kata Speaker DUN, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Amira adalah satu-satunya wakil rakyat MUDA dalam DUN Johor.
Ahad lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya meninggalkan kerajaan perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes Yayasan Akalbudi.
Syed Saddiq mendakwa tindakan itu dilihat sebagai menormalisasikan rasuah, dan beliau tidak mahu berkompromi dengan tingkah laku yang dilihatnya sebagai tidak berprinsip.
Semalam, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau telah menerima surat daripada Syed Saddiq yang memohon untuk menukar tempat duduknya dalam Parlimen.
Sementara itu Mohd Puad hari ini turut memaklumkan Adun Simpang Jeram yang baharu, Nazri Abdul Rahman akan mengangkat sumpah pada 14 September semasa mesyuarat ketiga penggal kedua DUN Johor. – Malaysiapost