PM, menteri rakam takziah untuk keluarga Raymond Goh

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita Nightline TV3 Allahyarham Raymond Goh atau Muhammad Zaman Goh, yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

“Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, penyampai berita veteran itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos lepas.

Allahyarham telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun, memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 o’clock news dan kemudian beralih kepada Nightline di stesen televisyen sama.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah kepada keluarga Goh.

Fahmi dalam hantaran di Facebook mendoakan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian itu.

Keluarga Allahyarham dalam kenyataan hari ini berkata Goh menghembuskan nafas terakhir dengan tenang pagi tadi selepas dalam keadaan kritikal akibat diserang penyakit angin ahmar.

Keluarga Allahyarham berkata, jenazah akan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini selepas solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sebagai penyampai berita veteran dengan lebih 30 tahun pengalaman, Allahyarham turut melatih individu dalam bidang pengucapan.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights