PM: MTN setuju kelulusan dokumen SOP NR-REE

Majlis Tanah Negara (MTN) bersetuju kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai pada mesyuarat MTN ke-80 yang dipengerusikan beliau hari ini.

“MTN-80 juga bersetuju dengan keputusan Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang melibatkan kelulusan secara prinsip Dokumen SOP Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia

“Serta syarat kelayakan penyediaan dan perakuan laporan carigali dan penjelajahan hanya oleh ahli geologi berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera profesional dengan perakuan amalan. 

“Aspek ekonomi dan kemampanan merupakan perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Anwar berkata, MTN-80 merupakan wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan dasar yang menyentuh tata kelola pentadbiran tanah yang konklusif, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, MTN-80 turut menyentuh mengenai komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan

“Kami berbincang mengenai beberapa perkara antaranya komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan berhutan selaras dengan Sidang Kemuncak Rio De Janeiro  pada tahun 1992.

“Serta dasar pelupusan tanah kepada TNB selaku penyedia perkhidmatan elektrik negara tanpa mengenepikan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan kepada pihak-pihak berkuasa negeri,” katanya lagi.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights