BRUNO Fernandes menerajui Portugal dalam kemenangan terbesar mereka, 9-0 ke atas Luxembourg tanpa penjaring gol terbanyak, Cristiano Ronaldo.
Skuad kendalian Roberto Martinez kini memenangi semua enam perlawanan kelayakan, tanpa dibolosi dan meledak 24 gol keseluruhan.
Portugal mendahului Kumpulan J Kelayakan Euro 2024, lima mata di depan Slovakia.
Luxembourg di tangga ketiga, tiga mata di belakang Slovakia.
Perancang Manchester United, Fernandes, yang meledak gol tunggal Portugal ketika menewaskan Slovakia sebelum ini, menjaringkan satu gol dan membuat umpanan untuk tiga lagi gol.
Goncalo Ramos, Diogo Jota dan Goncalo Inacio masing-masing meledak dua gol, dengan Ricardo Horta dan Joao Felix turut menemui sasaran.
Martinez, yang menggantikan Fernando Santos selepas Piala Dunia Qatar, mengekalkan rekod 100 peratus setakat ini.
“Kami masih di peringkat permulaan era baharu bersama jurulatih baharu, dan kami mengikut perancangan jurulatih sepenuhnya.
“Hari ini kami menetapkan tahap untuk perlawanan pada masa akan datang,” kata Jota seperti dipetik dari AFP.
Inacio membuka jaringan pada minit ke-12 hasil hantaran lintang Fernandes. Ramos menambah jaringan lima minit kemudian, juga hasil gerakan Fernandes.
Penyerang 22 tahun itu kemudian menjaringkan gol keduanya pada minit ke-33, gol keenamnya untuk Portugal dalam lapan penampilan.
Inacio sekali lagi menanduk masuk gol hasil hantaran Fernandes sebelum rehat, dan Jota meledak gol di awal babak kedua untuk Portugal mendahului 5-0 – hasil umpanan Fernandes.
Portugal membelasah Luxembourg 6-0 dalam pertemuan pertama di Grand Duchy dan Horta menyamai keputusan itu hasil umpanan Jota, sebelum dia pula meledak gol ketujuh.
Fernandes meledak gol kelapan sebelum pemain gantian, Felix mencatat rekod baharu Portugal dengan gol kesembilan.- Malaysiapost