DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Semasa temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg di Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute, di Singapura, Perdana Menteri mengakui GST adalah sistem cukai paling cekap dan telus.
“Bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada ambang.
“Apabila rakyat hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.
“Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak.
“Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya.Tetapi anda perlu terlebih dahulu mengurangkan subsidi kepada orang kaya,” katanya.
Anwar berkata rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular tetapi kerajaan ada masa empat tahun sebelum pilihan raya akan datang.
Justeru, katanya, kerajaan perlu melakukan rasionalisasi subsidi secepat mungkin kerana perbelanjaan subsidi untuk negara adalah antara tertinggi di Asia.
Mengenai pelaburan, Anwar berkata, Malaysia menumpukan kepada kejelasan dasar untuk memastikan negara mampu menarik pelaburan seperti yang berjaya dilakukan pada era 90-an.
“Kami mempunyai pasukan yang bagus dan kami perlu menerima hakikat bahawa kami memerlukan pelaburan.
“Perlu ada kemudahan untuk menjalankan perniagaan. Perlu ada kejelasan dasar ekonomi.
“Pada asasnya terdapat konsep Madani, tetapi mengapa saya memanggilnya Madani? Ia adalah kerana keprihatinan dan belas kasihan.
“Kita perlu menangani isu ketidaksamaan, kita ada rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Kita perlu menangani isu ini, dengan dasar yang jelas, kami telah dapat menarik pelaburan utama dalam tempoh lima hingga enam bulan lepas dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
“Pelaburan terbesar dari Infineon Technologies, (melabur) lima bilion euro (kira-kira RM24.9 bilion) ke Malaysia.
“Ini akan sangat membantu untuk meningkatkan keyakinan,” kata Perdana Menteri lagi.
Mengenai pelaburan Tesla, Anwar berkata, syarikat automotif terkemuka dari AS itu memutuskan untuk membuka ibu pejabat operasinya di Malaysia pada akhir Oktober atau awal November tahun ini.
Manakala tiga syarikat tempatan menjalin kerjasama dengan SpaceX, sambil menambah Starlink berpotensi memberi manfaat besar kepada Malaysia.
Ketika ditanya sektor mana yang pelabur harus melabur di Malaysia, Anwar berkata, Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan ketara dalam bidang transformasi digital, transformasi tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.
“Mengenai cukai pelaburan, ia perlu menarik bagi pelaburan… apa sahaja yang perlu dilakukan, apa sahaja yang perlu untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi kompetitif yang menarik untuk pelaburan,” katanya.- Malaysiapost