Tata kelola jadi ‘tata ke laut’, reformasi dah jadi ‘reformati’ – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengotakan kata dan janji untuk pentadbiran yang amanah, adil serta berintegriti.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ia tidak seperti dinyatakan Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kelmarin.

“Semasa membentangkan KSP RMK12, Perdana Menteri memetik hadis mengenai sifat amanah, ia baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan Tambun untuk mengotakan apa yang dikata…  tata kelola katanya dah jadi tata ke laut.

“Tak sampai setahun jadi kerajaan, janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun dah jadi reformati,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata begitu juga janji untuk merapatkan jurang antara negeri tidak dikotakan.

Beliau berkata, Perdana Menteri umum projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang, kedua-duanya di bawah pentadbiran PH.

Namun menurutnya, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kulim yang berada di negeri PN iaitu Kedah, langsung tidak disebut.

“Begitu juga janji untuk menyediakan peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang tidak dilaksanakan… di mana sifat amanah, adil dan integriti,” soalnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights