Kuantan sedia jadi tuan rumah RXZ Member 6.0

KUANTAN sedia menjadi lokasi Himpunan RXZ Member tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan itu. 

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Member, awal tahun depan,” katanya dalam satu sidang media di Bentong, hari ini. 

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu nanti.

“Insya-ALLAH berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara luar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia ini sudah memasuki edisi kelima penganjurannya selepas kali pertama diadakan bermula 2017 sehingga 2019 sebelum kembali berhimpun pada tahun lepas dan terbaharu tahun ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights