TIGA tuntutan dikemukakan pembangkang pada Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung di Sogo, Kuala Lumpur petang tadi.
Pemimpin himpunan itu, Tun Mohd Faisal Ismail, berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat Jabatan Peguan Negara (AGC) berhubung pembebasan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.
“Tuntut pertama dakwa Zahid, kedua bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), AGC dari badan eksekutif.
“Ketiga keadilan untuk semua rakyat, yang mencuri dipenjara… yang 47 kes dibiarkan begitu saja,” katanya.
Dia berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia di hadapan pusat beli belah itu.
Terdahulu, peserta himpunan diketuai Tun Mohd Faisal berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi sebelum berhimpun di Sogo selama sejam lebih.
Beberapa lagi aktivis dan pemimpin parti politik berucap pada himpunan itu termasuk ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin, Presiden Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa dan aktivis BERSATU, Badrul Hisham Shaharin.
Perhimpunan berlangsung secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan dikawal rapi oleh pihak berkuasa.
Anggota polis bertugas menganggarkan sekitar 3,000 peserta mengambil bahagian dalam himpunan itu dan berkumpul di Sogo.
Bagaimanapun pihak penganjur mendakwa lebih 10,000 menyertai himpunan terbabit.
Sementara itu Tun Mohd Faisal berkata, pihaknya merancang mengadakan perhimpunan solidariti seumpama itu di Permatang Pauh dan Bagan Datuk pada masa akan datang.- Malaysiapost