SEBUAH syarikat pelaburan hartanah dikenal pasti mengaut keuntungan RM50 juta selepas memperdaya lebih 500 individu untuk melabur dalam skim hartanah serta membeli rumah ditawarkan.
Syarikat terbabit yang beroperasi di Sibu dipercayai menipu kira-kira 400 individu di Sarawak yang kebanyakannya penduduk luar bandar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata selain itu ramai lagi individu di Kedah dan Johor turut menjadi mangsa syarikat terbabit.
Menurutnya, syarikat itu mula menjalankan kegiatan sejak 2019 dengan menawarkan tiga skim kepada mangsa.
“Pertamanya mereka menawarkan skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri, kedua mereka menawarkan untuk mencari tapak dan membina rumah kepada pembeli.
“Taktik ketiga pula, mereka menawarkan skim pelaburan berkonsepkan hartanah dengan meminta mangsa membayar dalam jumlah tertentu dan menjanjikan pulangan dividen.
“Tetapi malangnya, ketiga-tiga skim itu tidak dilaksanakan walaupun mereka sudah mengutip wang daripada orang ramai,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini, lapor BH Online.
Beliau berkata, sehingga kini MHO menerima 80 aduan rasmi berhubung penipuan itu, namun berdasarkan penelitian, pihaknya percaya terdapat lebih 500 individu menjadi mangsa syarikat itu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, ramai antara mangsa tertarik selepas ditawarkan rumah di kawasan strategik termasuk berdekatan Lapangan Terbang Sibu.
“Tetapi apa yang berlaku, rumah dikatakan di belakang Lapangan Terbang Sibu itu tidak wujud,” katanya lagi.
Justeru katanya, MHO mengadakan pertemuan dengan Mohd Azman bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid bagi memohon tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.- Malaysiapost