Bantuan tunai strategi ampuh tangani masalah kemiskinan

BANTUAN tunai kekal antara inisiatif boleh digunakan sebagai strategi perlindungan sosial dalam menangani kemiskinan dalam kalangan golongan miskin dan rentan.

TA Securities dalam satu nota penyelidikan berkata, bantuan tunai disalurkan kepada rakyat bermula dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2011, sebelum dijenamakan kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). 

Katanya, bantuan itu kemudiannya dikenali sebagai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan  Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai tonggak penting operasi kerajaan, langkah menyalurkan bantuan tunai ini memainkan peranan utama dalam mengurangkan kemiskinan dan mewujudkan kemakmuran ekonomi.

“Sudah tentu, ia bukan sahaja penting untuk pengurangan kemiskinan dan kemakmuran ekonomi tetapi juga berfungsi sebagai pemboleh utama pembangunan sosial dan kestabilan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kepelbagai fungsi bantuan tunai bukan sahaja merangkumi aspek ekonomi, malah merangkumi bidang penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan infrastruktur dan kebajikan sosial.

“Menerusi tadbir urus berkesan dan peruntukan sumber yang bertanggungjawab, bantuan tunai dapat meningkatkan kualiti hidup keseluruhan rakyat dengan ketara, memastikan akses kepada perkhidmatan penting dan mewujudkan persekitaran yang kondusif,” katanya.

TA Securities berkata, alasan di sebalik keberkesanan menyediakan bantuan yang lebih bersasar perlu dibuat dengan teliti kepada segmen rentan penduduk, dan bukannya mengagihkan insentif yang luas dan universal kepada semua penduduk Malaysia.

Katanya, satu pertimbangan utama, walaupun peningkatan kos sara hidup yang berterusan sepanjang tahun lalu menyaksikan rakyat cenderung untuk terus membelanjakan tanpa mengira tahap pendapatan.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights